Thursday, March 25, 2010

Lagi PILATUS Terhempas..

Foto:Berita Harian

KUALA LUMPUR: Detik akhir pesawat Pilatus PC-7 Mark II milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sejurus sebelum terhempas di kawasan hutan Universiti Utara Malaysia (UUM) dan mengorbankan juruterbangnya, Mejar Muhammed Zulrihan Jusoh, pagi tadi disaksikan ratusan pelajar yang menghadiri Karnival Konvokesyen Ke-23 universiti itu.

Rakaman video menggunakan telefon bimbit yang diperoleh Berita Harian Online daripada seorang pelajar UUM, menunjukkan pesawat kendalian Allahyarham Muhammed Zulrihan menjunam sambil berpusing-pusing di luar kawalan selepas melintas ruang udara Kompleks Sukan UUM dan melakukan aksi aerobatik pendakian menegak.

Pelajar terbabit yang pada mulanya bersorak gembira kerana menyangka aksi itu sebagai sebahagian daripada pertunjukan udara, tergamam apabila pesawat berkenaan tidak muncul selepas melewati perdu pokok di kawasan hutan itu, diikuti beberapa letupan dan kepulan asap hitam di udara.

Ketika kejadian, pengacara majlis masih lagi membacakan butiran pertunjukan udara itu manakala sebilangan pelajar yang menyedari pesawat malang itu sudah terhempas mula bergegas ke kawasan nahas.

Suasana yang sebelum itu ceria lantas bertukar cemas apabila ramai pelajar, khususnya wanita, menyedari mereka baru saja menyaksikan tragedi yang mengorbankan nyawa juruterbang TUDM.

1 comments:

annfrendly said...

dasatnya..
mesti yg tengok kejadian tu trauma..

Post a Comment

Your Comments Always The Best For Me..

Related Posts with Thumbnails