Friday, April 9, 2010

JMB Jawatankuasa Penaja??Penduduk Bantah

RAWANG: Nasib hampir 100 pemilik unit Pangsapuri Azalea Court, Lembah Hijau, Bandar Tasik Puteri di sini, yang mengalami pelbagai masalah dengan rumah mereka, semakin malang apabila penubuhan Jawatankuasa Badan Pengurusan Bersama (JMB) didakwa tidak mengikut prosedur.


PROTES...sebahagian penduduk Pangsapuri Azalea Court membuat bantahan secara aman, baru-baru ini.


Penghuni pangsapuri terbabit mendakwa tidak tahu menahu mengenai JMB yang ditubuhkan pada 2 Mei 2009, malah tidak pernah bersetuju melantik sesiapa pun dari kalangan mereka untuk menjadi ahli JMB.


Harian Metro pada 25 Disember tahun lalu melaporkan aduan penduduk Pangsapuri Azalea Court, mengenai beberapa masalah seperti keretakan bangunan, kemudahan lif mendatangkan masalah, penyelenggaraan bangunan tidak sempurna dan paling utama harga unit lebih mahal daripada harga dijanjikan.


Difahamkan, janji pemaju bagi menyelesaikan masalah dan tuntutan penduduk secepat mungkin pada ketika itu belum ditunaikan, malah ditambah masalah JMB pula.


Ketua Blok AZ5, Mohamad Badruddin, 36, berkata mereka belum terfikir untuk membentuk JMB kerana masih banyak perkara, tuntutan dan masalah bersama pemaju belum diselesaikan.


Menurut Mohamad yang juga Ahli Jawatankuasa (AJK) persatuan penduduk di situ, cara penubuhan JMB bagi pangsapuri berkenaan sangat diragui dan ada unsur penyelewengan kerana ramai penghuni tidak tahu, malah tidak bersetuju dengan kewujudannya.

“Kami hanya mengetahui pangsapuri ini mempunyai JMB pada Januari lalu apabila pemaju mengarahkan kami berhubung JMB bagi sebarang aduan.


“Apabila JMB terbabit ditanya mengenai perkara ini, mereka menafikannya dan cuba mengelakkan diri.


“Persatuan penduduk dan penghuni mengesyaki sesuatu berlaku dalam pengurusan di pangsapuri kami, kemudian merujuk Pertubuhan Pendaftaran Persatuan Selangor (ROS) mengenai status JMB terbabit dan ROS mengesahkan pendaftaran JMB itu,” katanya.


Mohamad bersama penduduk lain sekali lagi meminta penjelasan JMB terbabit berserta bukti diperoleh daripada ROS dan mereka mengakui menjadi JMB, tetapi memberi alasan sebagai jawatankuasa percubaan.


Susulan itu, laporan polis dibuat penduduk mengenai penyelewengan terbabit pada 21 Februari lalu dan terbaru penduduk membuat laporan kepada Majlis Perbandaran Selayang (MPS) serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) untuk menyiasat berhubung perkara berkenaan pada 8 Mac lalu.

Bagi penduduk, Azman Mohd Arifin, 44, penubuhan JMB perlu mengikut prosedur dan mendapat persetujuan daripada semua pemilik unit.


Katanya, jika JMB sudah ditubuhkan mereka perlu berkhidmat menyelesaikan masalah penghuni dan bukan menambah atau merumitkan lagi masalah sedia ada.


“Banyak perkara serta tuntutan penghuni belum diselesaikan pemaju, dengan adanya JMB terbabit pemaju lepas tangan dan melepaskan tanggungjawab mereka kepada JMB.


“JMB terbabit pula seperti bersekongkol dengan pemaju tanpa memikir atau memperjuangkan hak kami sebagai pemilik pangsapuri ini,” katanya ketika mengadakan bantahan secara aman di kawasan rumah mereka, baru-baru ini bagi membantah penubuhan JMB.


Azman berharap pihak berkuasa dapat segera membantu mereka menyelesaikan kemelut yang membebani penghuni sebelum tempoh jaminan atau tuntutan berkaitan unit dibeli tamat pertengahan tahun ini.


Sementara itu, Pengerusi Penaja JMB, Mozailan Ismail menolak dakwaan segelintir penduduk di situ yang mengatakan JMB bersekongkol dengan pihak pemaju.


Menurut Mozailan, JMB yang ditubuhkan hanya penaja dan JMB sebenar akan dipilih selepas mesyuarat agung diadakan dalam tempoh terdekat ini.


“Saya bersedia disiasat pihak berkuasa dan akan memberi kerjasama sepenuhnya serta menafikan dakwaan JMB bersubahat dengan pemaju.


“Isu ini timbul kerana segelintir penghuni tidak faham maksud
JMB penaja dan saya harap dalam mesyuarat bersama MPS serta pemaju masalah ini dapat diselesaikan,” katanya di sini, semalam.

myMetro

0 comments:

Post a Comment

Your Comments Always The Best For Me..

Related Posts with Thumbnails